Umrah Ziarah Bersama FELDA Travel
![]() |
| Syukur dapat bergambar di Kaabah |
Setelah membelek kira-kira 48 pakej yang ditawarkan, kami memilih pakej 12 hari Umrah Ziarah menggunakan Oman Air. Menerusi pakej ini, kami transit dua hari satu malam di Muscat sebelum ke Jeddah, Madinah dan Mekah.
Pakej untuk dua orang sebilik ialah RM5590 yang merangkumi semua perbelanjaan penerbangan, penginapan, makan, minum dan pengangkutan (bas berhawa dingin) untuk ziarah ke beberapa tempat menarik di Oman, Madinah dan Mekah.
Sewaktu mendaftar di ibupejabat FELDA Travel di Jalan Maktab 6, off Jalan Perumahan Gurney, kami disambut mesra oleh kakitangan di sana. Seorang kakitangan bernama Haji Rizal melayan kami dengan baik dan memberikan butiran terperinci mengenai pakej yang dipilih.
Sebaik menjelaskan bayaran, kami diberikan beg sandang, beg bimbit, aturcara pakej serta buku panduan jemaah dan buku panduan umrah setiap seorang.
Kami juga diminta menyerahkan tiga keping gambar untuk dibuat visa dan pas. Selepas pendaftaran, kami menyertai kursus intensif dan taklimat perjalanan pada minggu berikutnya. Kami turut dinasihatkan mendapatkan suntikan Meningitis.
Kami juga diminta menyerahkan tiga keping gambar untuk dibuat visa dan pas. Selepas pendaftaran, kami menyertai kursus intensif dan taklimat perjalanan pada minggu berikutnya. Kami turut dinasihatkan mendapatkan suntikan Meningitis.
Pada 3 Mei 2012 kami tiba di KLIA tepat jam 12 tengahari, dua jam sebelum penerbangan. Di sana kami disambut oleh Ketua Rombongan, Puan Intan Diana Rajiani. Manis, peramah dan berbudi bahasa orangnya. Rombongan kami kecil sahaja, iaitu 28 orang. Daripada jumlah itu hanya dua pasangan suami-isteri dan selebihnya kumpulan keluarga.
Kami bertolak dari KLIA menaiki penerbangan Oman Air pada 2 petang dan sampai di Muscat pada 8.30 malam waktu Malaysia (bersamaan 4.30 petang waktu Oman). Sampai di sana kami terus daftar masuk di Ramee Guestline Hotel Qurum. Selepas mandi, kami menikmati makan malam masakan India di hotel berkenaan.
![]() |
| Istana Al-Alam, Oman |
Keesokan pagi kami dibawa melawat Grand Mosque, Bazaar Muttrah Souq dan istana Al-Alam tempat bersemayam Sultan Qaboo. Kami makan tengahari di Restoran Afnan di tengah kota Muscat, yang suhunya pada hari itu 45 darjah Selsius. Tamat lawatan kami terus bertolak ke lapanganterbang untuk menyambung penerbangan ke Jeddah.
![]() |
| Grand Mosque - Oman |
Sampai di Jeddah, kami menaiki bas ke Madinah dan perjalanan itu mengambil masa lapan jam. Dalam perjalanan itu kami singgah di beberapa tempat untuk mengerjakan solat.
Di Madinah, kami bersyukur kerana ditempatkan di Hotel Al-Majeedi yang terletak cuma 30 meter di belakang Masjid Nabawi. Uniknya hotel ini ia berkonsep apartment yang dilengkapi bilik tidur, dapur, mesin basuh dan bilik air. Maka, kami tidak menghadapi masalah mencuci pakaian!
![]() |
| Senibina indah Masjid Nabawi |
Sepanjang 3 hari di Madinah yang suhunya antara 37-40 darjah selsius, selain dapat mengerjakan solat setiap waktu di Masjidilharam kami dibawa menziarahi Makam Rasulullah S.A.W, Raudah Asyarifah, Perkuburan Baqe ( hampir 10 ribu sahabat Nabi Muhammad disemadikan di sini), Masjid Quba (masjid pertama didirikan Rasulullah ketika tiba di Mekah), Masjid Qiblatain (dikenali sebagai masjid 2 kiblat), Ladang Kurma, Jabal Uhud dan Pasar Tamar.
![]() |
| Di perkarangan Masjid Nabawi |
Pada hari kelima kami berangkat ke Mekah siap berpakaian ihram dan dalam perjalanan singgah di Masjid Bir Ali untuk melakukan Miqat dan berniat Umrah.
Pada asalnya kami djadualkan menginap di hotel milik FELDA, iaitu Hotel Dar Ummu Hani yang terletak cuma 250 meter daripada MasjidilHaram, tetapi disebabkan hotel itu sudah penuh sebelum kami bertolak dari KL, kami diletakkan di Hotel Al Reyadah, yang jauhnya kira-kira 1,000 meter dari MasjidilHaram.
![]() |
| Bertuah dapat bergambar berhampiran Kaabah |
Setelah daftar masuk hotel dan berehat seketika, kami terus ke MasjidiHaram untuk melakukan Tawaf, Sai dan Tahallul dengan dibimbing oleh Mutawwif, Ustaz Ahmad Qassim dari Indonesia yang sudah menetap di Mekah selama tiga tahun.
Sepanjang di Mekah, kami telah dibawa menziarah Jabal Thur, Jabal Rahmah di Padang Arafah, Musdalifah, Mina, Ja’aranah (Miqat Umrah kali ke-2), Masjid Hudaibiyah (Miqat Umrah kali ke-3), Ladang Unta, Muzium Khiswah Kaabah.
![]() |
| Di sini kami mengerjakan Saie |
Pada hari tidak mengerjakan Umrah, kami menghabiskan masa bersolat dan beribadah di MasjidilHaram. Kami amat bersyukur kerana mendapat peluang mencium Hajratul Aswad dan bersembahyang di Hijir Ismail dan cuma beberapa meter di depan Kaabah.
![]() |
| Di Masjid Terapung |
Ramai di kalangan rombongan kami sudah mengerjakan Umrah dan Haji lebih dari sekali dan menurut mereka, MasjidilHaram sudah melalui banyak perubahan dan pembesaran.
![]() |
| Sempat melawat Ladang Unta |
Katanya, pada ketika ini keluasan MasjidilHaram ialah kira-kira 356,000 meter persegi dan boleh menampung 770,000 jemaah. Pembesaran MasjidilHaram akan membabitkan kawasan seluas 400,000 meter persegi untuk menampung kira-kira 1.2 juta jemaah. Projek ini dianggarkan bernilai 10 billion Riyal Saudi.
![]() |
| Menara Zam Zam |
Buat masa ini, berhadapan dengan perkarangan MasjidilHaram sudah terbina Menara Jam Zam Zam setinggi 601 meter, menjadikannya menara jam paling tinggi di dunia dan menara kedua tertinggi di dunia di belakang Burj Khalifa di Dubai (828 meter).
![]() |
| Kerja-kerja meluaskan MasjidilHaram sedang dilaksanakan |
Kami faham restoran FELDA D’Saji yang terletak di tingkat 2 Menara Safwa terpaksa menyediakan makanan mengikut citarasa orang Arab. Tetapi seharusnya untuk makanan catering yang dihantar ke hotel, pengurusan di sana patut menyediakan menu Malaysia yang setanding rasanya seperti di KL.
Kami berharap pada masa akan datang, FELDA D’Saji dapat memperbaiki mutu sajian mereka untuk jemaah Umrah dan Haji di Mekah. Bukan sahaja rasanya tidak sedap, tetapi menu yang sama diulang-ulang sehingga ada kalanya kerana jemu atau tidak puas, kami keluar mencari makanan sendiri.
Keseluruhannya, kami berpuashati dengan pakej dan layanan FELDA Travel. Bagaimanapun, kami mencadangkan, masa masa hadapan, pihak pengurusan menyediakan dua pegawai, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Kami kasihan melihat ketua rombongan, Puan Intan Diana, menguruskan jemaah lelaki dan wanita serentak, terutama ketika mengendalikan tiket dan bagasi.
Mujurlah rombongan kami ramai yang sudah berpengalaman mengerjakan Haji dan Umrah. Atas nasihat mereka, kaum lelaki diminta membantu meringankan tugas mengendalikan bagasi. Dengan izin allah, dimurahkan rezeki, kami sudah pasti mahu mengerjakan Umrah sekali lagi. Barangkali kami akan menggunakan khidmat FELDA Travel sekali lagi. InsyaAllah.
Read more...











